KUCHING, 31 Julai: Kedua-dua lorong Jejambat Batu 6 di Kuching dibuka sepenuhnya dari kedua-dua arah, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dengan itu katanya, kesemua jejambat Seksyen Kuching-Serian WPC02 Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sudah dibuka kepada orang ramai.
“Hari ini di Kuching, Jejambat Batu 6 sudah dibuka sepenuhnya.
“Maknanya di Kuching semua jejambat sudah dibuka kepada pengguna,” katanya ketika ditemui ditemui di Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah 1444H/2022M di Masjid Jamek Negeri Sarawak hari ini.
Pada 25 Julai 2022, Jejambat Batu 7 telah dibuka sepenuhnya kepada pengguna.
Sebelum ini, pelaksanaan projek Jejambat Batu 7 dan Batu 6 mengalami gangguan berikutan kekurangan bekalan bitumen pada akhir Jun hingga awal Julai lalu.
Jejambat Batu 6, Batu 7, Batu 4 dan Batu 10 merupakan empat projek jejambat di sepanjang Jalan Kuching-Serian di bawah projek Lebuh Raya Pan Borneo. — DayakDaily