ANGKASA pantau isu sisa serpihan roket China — Fadillah

Fadillah (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang wakil syarikat penyumbang Festival Maal Hijrah.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 31 Julai: Agensi Angkasa Negara Malaysia (ANGKASA) memantau erat berhubung sisa serpihan Long March 5B milik China yang dikesan masuk ke ruang udara bumi, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.

Tular di media sosial mengenai perkongsian warga maya mengenai rakaman video dipercayai serpihan roket berkenaan yang berlaku di Kuching awal pagi tadi.

“Nasib sisa serpihan tidak jatuh di sini, ia jatuh di Laut Sulu menurut laporan ANGKASA.

“Ia bukan kepakaran saya, tetapi setakat ini agensi ANGKASA memantau perkara ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah 1444H/2022M di Masjid Jamek Negeri Sarawak hari ini.

Kenyataan Agensi Angkasa China memaklumkan serpihan roket berkenaan telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi.

Pergerakan serpihan yang terbakar itu turut melintasi ruang udara Malaysia dan dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk ruang udara Sarawak.

Dalam pada itu, ANGKASA dalam kenyataan berkata, sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur. — DayakDaily