JBALB: Projek Rakyat bakal atasi masalah bekalan air di Awat-Awat

Water. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Jun 23: Masalah bekalan air di Awat-Awat, Limbang bakal selesai dengan terlaksananya Projek Rakyat Pakej NR3.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak menerusi satu kenyataan hari ini mendedahkan projek itu melibatkan beberapa kerja yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri.

“Ia melibatkan kerja penggantian tangki aras tinggi Sundar yang berkapasiti 2 juta liter sehari (MLD), pembinaan stesen pam penggalak untuk tangki aras tinggi Awat-Awat.


“Pembinaan tangki aras tinggi Awat-Awat yang berkapasiti 0.5MLD, menaiktaraf saluran paip di Kampung Bangkiai dan penggantian saluran paip di Kampung Perpindahan serta penggantian saluran paip dari tangki aras tinggi baharu Sundar sehingga ke Kampung Berjumpa.

“Projek juga melibatkan cadangan penggantian saluran paip untuk Kampung Seberang Awat-Awat, Sundar,” menurut kenyataan itu.

Menurut JBALB, projek penggantian saluran paip sepanjang jalan utama menuju Daerah Kecil Sundar yang melibatkan penyambungan terus saluran paip berukuran 400mm diameter dari Daerah Kecil Sundar ke saluran paip yang sedia ada di Awat-Awat dijangka siap pada penghujung bulan Julai 2020.

Menerusi projek ini, tekanan air di seluruh kawasan Awat-Awat akan dapat ditambah baik dan tekanan air juga akan turut meningkat.

Berhubung isu bekalan air di Punang, JBALB memaklumkan bahawa ia dapat diselesaikan menerusi Projek Baikpulih Loji Rawatan Air Gelugus yang berkapasiti 7MLD.

Projek tersebut sepatutnya siap pada Mei lalu tetapi terhenti ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac 18.

“Projek ini dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2020 dan mampu untuk membekalkan air ke kawasan Long Tuma dan Gaya Lama sekaligus meningkatkan kapasiti bekalan air ke seluruh kawasan Punang yang disalurkan terus dari Loji Rawatan Air Trusan yang berkapasiti 20MLD.

“Manakala projek menaiktaraf Loji Rawatan Air Trusan ke 40MLD kini dalam peringkat pembinaan. Menerusi projek ini, bekalan air akan dapat disalurkan secara lebih efisien ke seluruh kawasan Punang,” menurut JBALB
lagi.

Bagi pelan jangka masa panjang, jelas JBALB, kerajaan Sarawak telah meluluskan Projek Saluran Paip Lanjutan Punang yang dijangka siap pada awal tahun 2022.

Justeru, pengguna di kawasan Awat-Awat dan Punang diseru untuk memberikan kerjasama dan sokongan yang padu kepada kerajaan Sarawak dalam usaha untuk membekalkan air bersih dan terawat secara menyeluruh menjelang tahun 2025. — DayakDaily