Jawatan datuk bandar menjaga keseluruhan bandaraya Kuching dicadangkan

Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai (kiri) menyampaikan cenderahati kepada peserta Bengkel Bandaraya Perpaduan anjuran Yayasan 1Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuching Utara.

KUCHING, Dis 13: Kerajaan negeri diminta meneliti cadangan supaya mewujudkan jawatan datuk bandar yang menjaga keseluruhan bandaraya Kuching dengan jawatan terbabit secara bergilir disandang penduduk bandaraya ini dari pelbagai
kaum selama dua tahun.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata demikian dan akan mencadangkannya kepada kerajaan negeri dengan kawasan dibawah jagaan datuk bandar terbabit kemungkinan merangkumi seluas 10 kilometer dari pusat bandar raya ini.

“Ini termasuk juga kawasan dibawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta merangkumi sehingga sebahagian kawasan Padawan dan Kota Samarahan,” katanya ketika merasmikan penutupan Bengkel Bandaraya Perpaduan anjuran Yayasan 1Malaysia (Y1M) dan DBKU di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, semalam.


Abang Abdul Wahap berkata ketika ini bandar raya ini ada dua orang datuk bandar iaitu Datuk Bandar Kuching Utara yang menjaga kawasan dibawah pentadbiran DBKU dan Datuk Bandar kuching Selatan yang menjaga kawasan dibawah pentadbiran MBKS.

“MBKS dan DBKU dicadangkan terus dikekalkan dan tidak digabungkan sekiranya bandaraya ini ada satu datuk bandar kerana kewujudan dua pihak berkuasa tempatan di bandaraya ini ada manfaatnya termasuk keduanya saling bersaing memberi perkhidmatan lebih baik kepada warga bandaraya ini,” katanya.

Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai (tengah) bersama peserta Bengkel Bandaraya
Perpaduan anjuran Yayasan 1Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuching
Utara.

Disamping itu, jawatan datuk bandar keseluruhan bandaraya Kuching terbabit akan mengikut modal tugas datuk bandar bandaraya London yang lebih kepada tugas menghadiri upacara penting sekitar bandar raya ini dan menjadi wakil juga kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketika pemimpin itu sedang bercuti.

Beliau mencadangkan perkara terbabit berikutan Pengerusi Y1M, Dr Chandra Muzaffar sebelum itu telah mendedahkan antara isu utama yang dibangkitkan peserta bengkel perpaduan terbabit ialah bandar raya ini mempunyai dua datuk bandar walaupun diiktiraf Y1M sebagai bandaraya perpaduan sejak 1 Ogos 2015.

Malahan kewujudan dua datuk bandar terbabit kemungkinan dipersoalkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menimbangkan permohonan Y1M supaya badan dunia itu mengistiharkan bandaraya Kuching sebagai bandaraya perpaduan pertama di dunia. — DayakDaily