BINTULU, Feb 24: Tindakan seorang kanak-kanak lelaki bermain dengan tombol pintu mengundang padah apabila jarinya tersekat dalam lubang tombol itu dalam satu kejadian malam tadi.
Insiden itu mengakibatkan mangsa yang berusia 12 tahun terpaksa menahan kesakitan lebih daripada sejam sebelum dibawa oleh bapanya ke balai bomba untuk mendapatkan bantuan.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kanak-kanak tersebut yang diiringi bapanya tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu pada pukul 8.59 malam.
Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati jari telunjuk kanan mangsa telah tersekat dalam tombol pintu itu.
“Anggota bomba yang bertugas kemudian bertindak memotong tombol pintu tersebut dengan menggunakan peralatan khas.
“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan jari mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiong menambah, selepas berjaya mengeluarkan jari mangsa, anggota bomba mendapati hanya terdapat luka kecil pada jari mangsa.
“Pihak bomba kemudian menyarankan agar mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya lagi. ā DayakDaily