Tiga sahabat dilaporkan hilang ditemui selamat

Tiga mangsa (duduk) bergambar bersama pasukan mencari dan menyelamat.

SRI AMAN, Feb 23: Misteri kehilangan tiga sahabat yang keluar memancing ikan di Ulu Sungai Suai, Engkelili di sini semalam terungkai apabila mereka ditemui selamat hari ini.

Ketiga-tiga sahabat yang berusia antara 18 hingga 19 tahun itu ditemui oleh penduduk kampung kira-kira pukul 10.05 pagi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, ketiga-tiga remaja lelaki tersebut ditemui kira-kira tiga kilometer dari pusat kawalan bomba.


Katanya, semasa ditemui, mereka kelihatan letih dan lemah kerana seharian tidak makan dan minum.

“Berdasarkan keterangan, mereka telah tersesat di dalam hutan ketika hendak pulang dari memancing.

“Mereka tidak dapat menemui jalan keluar sehingga menyebabkan mereka terpaksa bermalam di hutan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, operasi mencari dan menyelamat yang bermula pada pukul 7.30 pagi tamat sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari.

“Semua mangsa kemudian dibawa pulang oleh ahli keluarga mereka ke rumah panjang,” ujarnya lagi. — DayakDaily