Latihamal bersepadu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bermula hari ini

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Dec 5: Ibupejabat Polis Daerah Kuching meminta orang ramai tidak cemas dan panik melihat kehadiran kenderaan kecemasan dari pelbagai jabatan dan agensi yang akan tertumpu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner, Ng Ah Lek berkata ini kerana satu latihamal bersepadu selama dua hari akan mula diadakan di LTAK hari ini dinamakan ‘Latihamal Act Of Aggression — Ex-Rampas Kuching International Airport’ yang membabitkan banyak kenderaan kecemasan.

“Masyarakat dinasihatkan tidak panik jika melihat kehadiran kenderaan kecemasan dari jabatan tertentu dan juga pengaliran trafik yang mungkin akan sedikit terganggu ketika latihamal dijalankan,” katanya dalam kenyataan medianya semalam.


Ng berkata latihan itu bertujuan untuk melatih semua agensi dan menguji kesiapsiagaan semua agensi dalam menangani isu ketenteraman awam dan keganasan di Lapangan Terbang.

“Antara agensi dan jabatan itu ialah polis, Malaysia Airports Berhad (MAB), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Jabatan Penerbangan Awam, serta beberapa agensi lain,” katanya.

Beliau berkata sekiranya orang ramai mahu membuat sebarang pertanyaan mengenai latihamal itu mereka boleh hubungi talian 082-244 444 untuk maklumat lanjut. — DayakDaily