Polis Kuching terus gempur pusat judi haram

Ng Ah Lek

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 7: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sentiasa berusaha menggempur dan menumpaskan tindakan licik perjudian nombor ekor haram.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, usaha menghapuskan kegiatan perjudian tersebut giat dilakukan bagi membebaskan bandar raya ini daripada kegiatan yang berleluasa itu.


Jelasnya, sebanyak 334 operasi memerangi perjudian haram itu telah dilakukan sejak Januari hingga November ini.

“Kita (polis) juga telah menangkap seramai 392 individu yang disyaki terlibat dalam menjalankan aktiviti tersebut.

“Selain itu, kita juga telah merampas wang tunai sebanyak RM55,812 dipercayai hasil daripada perjudian haram berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ng menambah, menerusi serbuan di pusat perjudian dalam talian pula, pihaknya berjaya menahan seramai 107 orang pengendali perjudian berkenaan.

Katanya, serbuan yang melibatkan 67 buah premis perjudian itu juga berjaya merampas wang tunai sebanyak RM25,759.

“Antara lain, sebanyak 22 premis perjudian telah diambil tindakan pemotongan pendawaian elektrik.

“Usaha ini dilakukan secara kerjasama bersama pihak SESCO dalam usaha kita melumpuhkan kegiatan perjudian tersebut,” katanya.

Kesemua tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily