Jangan terlalu selesa dan abaikan PKP, tegas Ismail

File photo of Ismail Sabri addressing a press conference on Covid-19.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Apr 21: Menteri Kanan Keselamatan Datuk Ismail Sabri Yaakob menggesa rakyat agar terus patuh kepada langkah-langkah yang diambil di dalam Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

Katanya, walaupun kes baharu jangkitan Covid-19 menunjukan penurunan, rakyat diminta agar jangan terlalu selesa dan abaikan PKP.

“Saya percaya apabila diumumkan oleh ketua pengarah kesihatan bahawa hanya 36 yang positif Covid-19 dan tiada kematian semalam, ramai yang mula merasakan perlu dilonggarkan segala sekatan.

“Selagi PKP tidak ditamatkan dan selagi tiada prosedur operasi standard(SOP) yang baharu diperkenalkan oleh kerajaan, maka SOP atau peraturan yang ada pada hari ini masih terus kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PKP di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata soal pematuhan PKP masih menjadi tanggungjawab semua dan pihak polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap setiap individu yang ingkar PKP.

Menurut beliau, sesetengah negara telah melonggarkan sekatan-sekatan apabila kes berkurangan yang akhir menyebabkan kes positif Covid-19 meningkat semula.

‘Akhirnya negara ini terpaksa mengisytiharkan PKP semula dan ada negara yang mengisytiharkan darurat.

“Saya harap perkembangan baik ini boleh dijadikan satu perkara positif supaya kita bertindak dengan lebih tegas, mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan dan setiap perintah dalam PKP tersebut,” katanya.

Pada sidang media yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa Polis pada semalam telah menahan seramai 946 individu berkaitan kesalahan ingkar PKP di seluruh negara.

Katanya, ia merangkumi 822 individu yang telah direman dan 124 individu yang diberikan jaminan polis.

“Daripda jumlah 946 individu tersebut, 433 telah ditahan di zon merah kerana ingkar PKP dan seramai 101 individu telah dihadapkan ke mahkamah semalam.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP setakat ini adalah 16,870 individu,” ujar Ismail.—DayakDaily