Oleh Dean Adam
KUCHING, Feb 15: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman melalui laman sesawang, media sosial atau melalui aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp, WeChat dan sebagainya.
Ketuanya, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, menasihati masyarakat awam supaya mendapatkan pinjaman wang daripada syarikat pemberi pinjaman wang berlesen atau institusi kewangan yang sah.
Jelasnya, anggota masyarakat juga dinasihatkan agar tidak meminjamkan atau menjual akaun bank kepada mana-mana pihak sama ada dikenali atau tidak.
“Sekiranya akaun bank tersebut digunakan oleh penjenayah, pemilik akaun boleh dituduh di mahkamah,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, pemberi pinjam wang yang sah hanya boleh menjalankan urusan pinjaman di alamat operasi yang diluludkan sahaja.
Katanya, premis yang sah perlu mempamerkan lesen mereka di tempat yang mudah dilihat oleh pelanggan.
“Layari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (rmp.gov.my), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (ccid.rmp.gov.my) dan Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan serta seumpamanya,” katanya. — DayakDaily