“Jangan guna nama Pedas untuk memancing undi”

Gambar perjuangan Pedas yang telah digunakan bagi dikaitkan para 'cyber trooper' politik kepada satu parti politik tempatan.

KUCHING, Jun 24: Pedas minta semua parti politik di Sarawak untuk tidak cuba mengaitkan mereka dalam kancah politik negeri ini menjelang pilihan raya negeri.

Presiden Persatuan Dayak Sarawak (Pedas), Muhd Imran Collin berkata demikian kerana kecewa persatuan tersebut yang sudah tujuh tahun giat memperjuangkan kaum Dayak terutama tanah hak adat (NCR) telah ada cuba dikaitkan para ‘cyber trooper’ politik dengan satu parti politik tempatan.

Ini selepas para cyber trooper politik tersebut mengunakan gambar perjuangan persatuan itu selama ini dan dipercayai bagi memancing sokongan masyarakat Dayak kepada parti politik itu.


“Kami tidak mahu diheret dalam kancah politik dan dipergunakan oleh mana-mana parti politik tanpa pengetahuan kami. Sokongan kepada mana-mana ahli politik atau parti politik adalah hak individu tetapi bukan dasar perjuangan kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Collin sehubungan itu memohon pihak yang berkaitan untuk segera mengeluarkan gambar perjuangan persatuan itu dari bahan kempen politik.

Beliau malahan menjelaskan parti politik tempatan terbabit yang baharu ditubuhkan sebenarnya tidak pernah bersama Pedas turun padang membantu masyarakat Dayak berkaitan isu tanah NCR.

“Bukan satu parti sahaja yang mengunakan isu NCR bagi memancing undi kaum Dayak….tetapi tiada yang kelihatan ketika masyarakat Dayak menghadapi masalah tanah,” katanya. — DayakDaily