‘Jangan cakap besar untuk pengaruhi pengundi’


LAWAS, Mei 2: Pakatan pembangkang hanya pandai becakap besar tanpa membawa sebarang sumbangan untuk penduduk di Lawas, tegas calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong.

Henry memberitahu, pemimpin pembangkang hanya pandai menabur janji-janji manis selain bercakap besar untuk mempengaruhi pemikiran penduduk setempat.

“Buat masa ini, kerajaan BN Sarawak masih berkuasa di Parlimen Lawas.


“Jadi jangan bercakap besar dan menabur fitnah yang tidak berasas kerana hari ini kita akan bertindak mengikut undang-undang sedia ada dalam Akta Berita Palsu jika fitnah terus disebarkan secara sembarangan untuk memecah belahkan rakyat,” katanya di sini semalam.

Henry menambah, beliau berjanji akan menunaikan segala keperluan penduduk di Lawas sekiranya diberi mandat besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, selain itu, beliau juga berhasrat untok merealisasikan pembangunan serta transformasi di kawasan luar bandar di Lawas.

“Saya berikrar untuk terus mengangkat Lawas menjadi sebuah daerah yang maju dan menjanjikan masa depan terbaik bagi generasi muda hari ini.

“Oleh itu, saya ingin mengajak para pengundi di Bukit Sari dan Ba’kelalan sama-sama turun mengundi kelak bagi memberi kemenangan besar kepada BN,” ujarnya lagi. — DayakDaily