KUCHING, 22 Mei: Tahap radiasi yang dipancarkan oleh menara telekomunikasi mematuhi had dedahan yang dikeluarkan oleh International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNRP) iaitu di bawah 12.4 electron volt (eV).
Justeru Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi merayu kepada masyarakat supaya tidak merasa bimbang terhadap pembinaan menara tersebut yang amat diperlukan untuk kemudahan internet.
“Terdapat juga isu bantahan masyarakat setempat contohnya dari segelintir masyarakat di Bandaraya Kuching dan Miri yang membantah pembinaan menara telekomunikasi dan memohon pemindahan menara tersebut ke tempat lain.
“Alasannya, kononnya mereka beranggapan bahawa menara tersebut membawa kesan radiasi yang tidak baik terhadap kesihatan penduduk sekitar,” kata Julaihi.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Tambah Julaihi, tahap dedahan semua menara telekomunikasi di Malaysia adalah dikawal oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia.
Selain cabaran tersebut katanya, Kementerian juga berhadapan dengan kurangnya minat syarikat telekomunikasi untuk beroperasi di kawasan luar bandar disebabkan kurang keuntungan. — DayakDaily