Jangan bawa anak ke pusat beli-belah sementara pandemik Covid-19, ujar Lee

Datuk Lee Kim Shin pada mesyuarat JPBB Miri pagi tadi.

Brad Rantayy

MIRI, 12 MEI: Ibu bapa di daerah ini dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak mereka mengunjungi pusat membeli-belah bagi mengelakkan mereka terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin merangkap menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri meluahkan rasa kebimbangan ini apabila terdapat segelintir golongan ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke pusat-pusat membeli belah tanpa memakai pelitup muka.

Malah, terdapat kanak-kanak yang bermain dan berlari di pusat-pusat membeli belah tanpa memakai pelitup muka, ujarnya.

Susulan pengumuman prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diperketatkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Lee memaklumkan bahawa kompleks membeli belah dibenarkan beroperasi dengan menghadkan bilangan pelanggan kepada 50 peratus daripada kapasiti premis.

Beliau turut meminta Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis dan Majlis Daerah Marudi untuk mengambil perhatian perkara ini serta berbincang dengan pengusaha kompleks membeli belah atau pasaraya agar menetapkan kapasiti pelanggan yang masuk selain memperketatkan aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan.

Selain itu, aktiviti sukan dan rekreasi secara berkumpulan di taman-taman awam di sekitar bandaraya Miri atau; aktiviti di kawasan pantai (Tanjong Lobang, Pantai Lutong, Pantai Luak; Pantai Bungai, Pantai Peliau, Pantai Kuala Sibuti, Tusan) secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, Datuk Lee juga ingin mengingatkan masyarakat berhubung pendaftaran vaksin, bagi sesiapa yang belum mendaftar agar segera berbuat demikian. Vaksin adalah penting selain melindungi diri juga untuk melindungi orang lain.

JPBB Miri turut mengingatkan masyarakat termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin Covid-19 agar terus kekal berwaspada, mematuhi SOP Pencegahan Covid-19 sebagai norma baru dengan mengamalkan 3W (Wash, Wear, Warn) dan mengelakkan 3S (Elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat), serta mengelakkan aktiviti sosial berkumpulan.

Dalam pada itu, susulan peningkatan drastik kes positif di Bahagian Miri khususnya di Daerah Miri, Subis dan Beluru, JPBB Miri pada mesyuarat hari ini (Rabu, 12 Mei), memohon kerjasama daripada semua pihak serta orang ramai untuk mematuhi SOP PKPB diperketatkan seperti yang telah diumumkan oleh JPBNS.

Datuk Lee Kim Shin berkata, “Apa yang penting sekali ialah kerjasama erat orang ramai, serta peranan kita bagi membendung penularan pandemik Covid-19 kerana kita hanya boleh berjaya dengan sokongan dan kerjasama semua.

“Pada tahun lepas, untuk satu tempoh masa yang panjang kita telah mempertahankan Miri kekal sebagai Zon Hijau, tiada kes dilaporkan dan pada masa itu juga kita mendapat kerjasama daripada semua rakyat di Miri. Masyarakat harus mempunyai kemahuan dan disiplin dalam hal ini demi keselamatan dan kesihatan semua”.

Mengulas mengenai tindakan kompaun yang dikenakan ke atas individu atau mana-mana pihak yang melanggar SOP Covid-19, Datuk Lee menyeru agar setiap lapisan masyarakat secara ikhlas dan atas kerelaan sendiri mematuhi peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan dan tidak perlu menunggu untuk dikompaun bagi mematuhi SOP Covid-19.

“Sekali lagi saya merayu secara ikhlas, agar semua pihak memberikan kerjasama erat, beri sokongan dengan mematuhi SOP supaya kes-kes kita boleh diturunkan dan seterusnya kita boleh kembali ke Zon Hijau bagi membolehkan semua aktiviti dan sektor ekonomi dibuka semula”, tambah Datuk Lee.

JPBB Miri meminta orang ramai agar tidak melakukan pergerakan atau mengurangkan pergerakan mereka di samping untuk tidak melakukan perjalanan rentas daerah untuk balik bercuti atau balik beraya di kampung. Polis hanya akan mengeluarkan permit tertakluk kepada tiga kategori yang dibenarkan sahaja iaitu kecemasan, tugasan rasmi selain perkhidmatan perlu.

“Lebih elok dalam tempoh ini tinggal di rumah dan elak keluar ke tempat-tempat tumpuan orang ramai. Keluar hanya untuk perkara perlu sahaja.

Hadir sama mesyuarat melalui aplikasi zoom termasuk Abdul Aziz Bin Mohd Yusuf, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri; Dr. P. Raviwharmman, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri; Dr. Jack Wong Siew Yu, Pengarah Hospital Miri serta semua agensi dan jabatan di bawah JPBB Miri. — DayakDaily