Jangan ambil ringan program vaksinasi virus rabies — Uggah

Uggah (empat dari kanan) melihat pemilik haiwan peliharaan membawa anjing untuk disuntik vaksin anti-rabies.
Advertisement

MIRI, Mac 11: Pemilik haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing di bahagian ini diingatkan agar tidak memandang ringan program suntikan vaksinasi virus rabies yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, meskipun belum ada rekod jangkitan wabak rabies dilaporkan di utara Sarawak, tetapi pemilik haiwan peliharaan harus mengambil tindakan proaktif.

Jelas beliau, langkah-langkah pencegahan harus diberi perhatian serius oleh semua pemilik haiwan peliharaan memandangkan wabak rabies atau penyakit anjing gila sukar dikawal apabila ia sudah merebak di sesebuah kawasan.

Advertisement

“Jangan ambil ringan program suntikan vaksin anti rabies yang dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan haiwan peliharaan mereka tidak dijangkiti virus rabies.

“Masyakarat umum perlu ingat, suntikan vaksin anti-rabies yang diberikan adalah secara percuma, tiada sebarang bayaran dikenakan,” katanya ketika menghadiri Program Vaksin Rabies Peringkat Bahagian Miri di sini hari ini.

Uggah menambah, mana-mana individu yang mempunyai sejarah gigitan anjing diminta untuk segera bertindak membuat pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat.

Katanya, dalam masa yang sama, orang ramai turut diingatkan untuk sentiasa menghindarkan diri dari gigitan haiwan terutamanya anjing.

“Sekiranya digigit, perlulah mengambil langkah pencegahan segera dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan menggunakan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit.

“Selain itu, mereka perlu segera mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement