Jangan ambil mudah amanah yang diberikan oleh rakyat — Abdullah Saidol

Abdullah (duduk tiga dari kanan) bersama masyarakat setempat.

SEMOP, Julai 6: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu melaksanakan pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar yang belum menikmati kemudahan seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik mahu pun jaringan jalan raya yang sempurna.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata, perubahan segera lain yang ingin dilihat rakyat dalam ialah kemantapan integriti yang berterusan daripada semua wakil rakyat GPS serta kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.

Jelasnya, ia secara langsung membawa imej positif kepada GPS kerana rakyat kini bijak menilai tahap kesungguhan pemimpin gabungan tersebut dalam mempertahankan hak rakyat serta negeri ini.


“Lihat, apa yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-14 lalu, rakyat sudah bersuara menerusi undi mereka yang menginginkan perubahan.

“Jadi, sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, kini kita tidak boleh mengambil mudah tanggungjawab serta amanah yang dipikul,” katanya pada program ziarah Gawai Raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.

Abdullah yang juga ADUN Semop memberitahu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga sentiasa mengingatkan bahawa sudah tiba masanya kepimpinan anak jati Sarawak menentukan destinasi masa depan negeri ini.

Ujarnya, kepimpinan negeri akan mengikut ‘acuan’ tersendiri dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat serta negeri ini.

“Kesungguhan Ketua Menteri (Abang Johari) membukti kepimpinan beliau mesti diberi peluang oleh rakyat Sarawak sebagaimana rakyat Malaysia memberi peluang kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya,” katanya.

Abdullah menambah, secara keseluruhannya, sebahagian besar rakyat di negeri ini menyokong kesungguhan kerajaan negeri yang ditadbir GPS kini khususnya dalam menuntut semula hak-hak negeri ini yang semakin terhakis.

Tambahnya, beliau juga menuntut kesetiaan dan keyakinan daripada rakyat supaya mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan GPS.

“Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan yang diterajui PH dan akan menyokong apa-apa saja polisi kerajaan baharu ini demi manfaat rakyat Sarawak,” katanya. — DayakDaily