Jambatan Batang Samarahan lokasi pilihan pekebun nanas menjual buah segar

Norhayati (dua dari kiri) dan ibunya Maliah Pol, 52, di gerai menjual buah nanas keluarga mereka di Simpang Tambey-Tambirat.

KOTA SAMARAHAN, 13 Dis: Simpang Tambey-Tambirat berhampiran Jambatan Batang Samarahan di sini kini menjadi lokasi pilihan bagi pekebun nanas di kampung sekitar Asajaya menjual buah tersebut yang baharu dituai dari kebun mereka.

Antara ditemui di simpang terbabit ialah Norhayati Sahat, 32, dari Kampung Sungai Mata yang bersama keluarganya mengusahakan kebun nanas di tanah seluas 30 ekar di kampung mereka.

“Setiap ekar kebun kami ada ditanam sebanyak 13,000 pohon pokok nanas. Kami mula menjual buah nanas dari kebun terbabit di simpang ini sejak Jambatan Batang Samarahan siap dan dibukanya kepada lalulintas pada 2018,” katanya ketika ditemui hari ini.


Norhayati berkata ini berikutan terdapat permintaan baik untuk buah itu dari pengguna kenderaan yang melalui simpang itu dan mendedahkan permintaan akan meningkat berlipat kali ganda ketika musim perayaan terutamanya Tahun Baru Cina.

Ini menyebabkan keluarganya yang sudah 30 tahun mengusahakan kebun nanas bukan sahaja menanam pelbagai jenis baka nanas termasuk N36, MD2, Josephine dan Morris malahan tidak lagi menanamnya secara bermusim tetapi sepanjang tahun.

“Ketika ini orang ramai ramai boleh membeli buah itu antara RM8 hingga RM10 hingga sebiji bagi bersaiz biasa dan boleh mencecah RM15 sehingga RM20 sebiji bagi yang bersaiz besar di gerai kami,” katanya.

Manakala buah nanas yang bersaiz lebih kecil dijual pada harga RM10 bagi setompok atau tiga atau empat biji sementara harga borong pula adalah diantara RM3 hingga RM7 sebiji mengikut saiz buah.

Katanya ketika ini secara purata keluarganya mampu mendapat pendapatan sehingga RM6,000 sebulan dengan menanam, menuai dan menjual sendiri buah nanas yang ditanam dikebun mereka seluas 30 ekar itu.

“Ketika ini cabaran utama kami ialah serangan penyakit dan serangga perosak di kebun. Ini akan berlaku setiap tahun dari ketika cuaca panas dari Mei hingga Ogos mengakibatkan banyak buah menjadi rosak dan tidak dapat dijual,” katanya.

Norhayati berkata minggu ini kebanyakan buah dituai di kebun bagi dijual di gerai mereka adalah jenis N36 dan selain itu keluarganya juga ada menjual baka nanas MD2 di gerai mereka pada harga RM3 setiap satu. — DayakDaily