MPKS bakal adaptasi cara SMC berikan kelulusan lesen penjaja, peniaga kecil

Kelihatan Minos (tiga dari kiri) ketika simbolik Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pusat Penjaja Kampung Tambirat, Asajaya yang dilangsungkan oleh Abdul Karim (duduk).

KOTA SAMARAHAN, 13 Dis: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) akan mengadaptasi kaedah yang diguna pakai oleh Majlis Perbandaran Sibu (SMC) dalam memberikan kelulusan lesen penjaja atau peniaga kecil.

Ia dengan mengenakan tindakan membatalkan lesen peniaga kecil atau penjaja yang didapati tidak aktif dalam menjalankan perniagaan mereka.

Pengerusi MPKS, Datuk Peter Minos berkata, perkara tersebut akan dimasukkan dalam salah satu terma dan syarat yang harus dipatuhi oleh peniaga atau penjaja yang memohon lesen terbabit dengan MPKS.


“Cadangan ini merupakan sesuatu yang bagus dan kita akan pastikan ia akan dimasukkan sebagai salah satu syarat kita kepada peniaga kecil dan penjaja untuk memperoleh lesen.

“Apabila kita sudah beri lesen mereka mesti berniaga. Jangan hanya berniaga seminggu sekali atau memberikan lesen tersebut kepada orang lain untuk digunakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pusat Penjaja Kampung Tambirat, Asajaya di sini hari ini.

Minos berkata, syarat terbabit antara lain berupaya mengelakkan peniaga kecil atau penjaja tersebut daripada ‘mengalibabakan’ lesen peniagaan yang telah diberikan kepada mereka.

Minos (kiri) menunjukkan kepada Abdul Karim lakaran artis Pusat Penjaja Kampung Tambirat, Asajaya.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mencadangkan kepada MPKS untuk mengadaptasi kaedah yang digunakan SMC dalam meluluskan lesen kepada peniaga kecil dan penjaja di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tersebut.

Tindakan itu, kata Abdul Karim, bagi memastikan setiap kemudahan yang disediakan kerajaan seperti pusat penjaja dan peniaga kecil dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak dibiarkan kosong sehingga mencacatkan pandangan di kawasan terbabit.

“Jika kita dapati ada peniaga kecil atau penjaja yang tidak aktif berniaga, batalkan sahaja lesen mereka dan berikan kepada mereka yang betul-betul mahu berniaga.

“Ini kerana saya difahamkan ramai yang sedang memohon dan menunggu untuk mendapatkan lesen peniagaan mereka dengan MPKS.

“Kita juga tidak mahu kemudahan yang kita sediakan kepada mereka (peniaga kecil dan penjaja) ini rosak begitu sahaja kerana tidak digunakan untuk tujuan berniaga,” katanya. — DayakDaily