Jabatan Kesihatan usaha kelulusan bayar sewa PKD Lawas

Kelihatan PKD Lawas yang dirantai dipercayai tidak bayar sewa selama 30 bulan.

KUCHING, Jun 4: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini memaklumkan isu yang tular dalam media sosial berkaitan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lawas dirantai adalah disebabkan terdapat tunggakan bagi sewaan premis berkenaan.

Pengarah JKNS, Dr Jamilah Hashim berkata, berdasarkan semakan pihaknya mendapati terdapat tunggakan bagi sewaan premis PKD Lawas bagi tahun 2014, 2017 dan 2018.

Jelasnya, tunggakan sewaan bagi tahun 2014 adalah disebabkan oleh kelulusan bayaran di bawah AP 58(a) masih belum diperolehi daripada Kementerian Kewangan Malaysia.

Kelihatan PKD Lawas yang dirantai dipercayai tidak bayar sewa selama 30 bulan.

“Manakala tunggakan bagi tahun 2017 dan 2018 pula, bayaran sewaan belum dapat dibuat memandangkan kelulusan tukar syarat sementara kegunaan tanah belum diterima daripada pihak Jabatan Tanah Dan Survei, Sarawak.

“Bagaimanapun, pembayaran bagi sewaan tahun 2015 dan 2016 telah dijelaskan kepada pemilik premis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Jamilah menambah, sehubungan dengan itu, pihak JKNS sedang dalam proses mendapatkan kelulusan pembayaran sewaan premis berkenaan.

“JKNS juga sedang mendapatkan kelulusan tukar syarat sementara kegunaan tanah serta kelulusan pelanjutan penyewaan daripada pihak berkuasa yang berkaitan sebelum sewaan boleh dibayar oleh PKD Lawas,” ujarnya lagi. — DayakDaily