Isu bekalan air bersih di Lingga perlu diberi perhatian

Adun Lingga Simoi Peri

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 8: Isu bekalan air bersih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri menerusi Jabatan Bekalan Air Bersih Luar Bandar (JBALB).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri berkata, kawasan di Skait, Kampung Pangkat, Gran/ Stumbin termasuk Tanjung Bijat, sering kali menghadapi masalah tekanan air rendah dan ketiadaan air.


Menurutnya, masalah itu berlaku disebabkan saluran paip di Skait seringkali rosak, akibat hakisan tanah di tebing sungai.

“Mengapa saluran paip ini tidak diselenggara dengan sempurna supaya masalah sama tidak berulang dan menyusahkan penduduk setempat?

“Kita tidak mahu rakyat berdepan dengan masalah sekejap ada air dan sekejap tidak ada bekalan air,” katanya semasa membahas Rang Undang-Undang Pembekalan (2019), 2018 dalam Persidangan DUN ke-18 di sini hari ini.

Sementara itu, Simoi memberitahu, selain daripada masalah air kotor sering berlaku di kampung-kampung di Sri Aman, warga SMK Lingga turut mengalami masalah ketiadaan air.

Katanya, begitu juga di Maludam dan bertanya apakah status terkini projek naiktaraf di kawasan berkenaan.

“Jadi saya berharap agar kerajaan melalui JBALB menjelaskan kepada wakil rakyat dan rakyat mengenai progres projek tersebut.

“Ini bagi mengelak rakyat dipermainkan dan kita tidak mahu projek itu hanya dianggap sebagai janji yang tidak kunjung tiba,” jelasnya.

Sambil menambah, isu berkenaan rumah kedai/pasar dan ‘waterfront’ di Lingga juga perlu diberi perhatian segera.

“Sehingga kini, masih belum kedengaran proses seterusnya hingga rakyat saya bertanya bila dan kesudahan projek tersebut.

“Kita tidak mahu kelewatan dan kegagalan sesuatu projek memberi impak negatif kepada kerajaan, dan wakil rakyat, sehingga ada yang mempertikaikan usaha wakil rakyat di kawasan tersebut,” katanya. — DayakDaily