Ismail Sabri: Kerajaan tanggung kos membawa pulang pelajar Sarawak, Sabah di semenanjung

File photo for illustration purposes only.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 29: Kerajaan akan tanggung kos penerbangan untuk membawa pulang pelajar-pelajar Sarawak dan Sabah yang berada di semenanjung.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelajar-pelajar ini akan dihantar pulang menggunakan penerbangan khas yang disewa oleh kerajaan.


Menurut beliau, pesawat yang sama juga akan membawa pulang pelajar-pelajar dari semenanjung yang berada di Sarawak dan Sabah.

“Saya percaya, pesawat yang sama akan digunakan sebab penghantaran pulang pelajar-pelajar Sarawak dan Sabah adalah menggunakan penerbangan khas yang disewa oleh kerajaan, dan ditanggung oleh kerajaan,” katanya pada sidang media harian berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa pergerakan pulang pelajar-pelajar Sarawak yang berada di Semenanjung akan bermula pada 1 Mei ini melalui empat lapangan terbang.

Seramai 7,000 anak Sarawak yang belajar di Semenanjung terkandas sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Berhubung tangkapan ingkar PKP, beliau memaklumkan bahawa polis pada semalam telah menahan seramai 643 individu di seluruh negara berbanding 489 pada hari sebelumnya

Katanya, ia merangkumi 576 individu yang telah direman dan 67 individu yang diberikan jaminan polis.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP setakat 28 April adalah 21,749 individu,” ujar beliau. — DayakDaily