PKP Fasa 4: Satu keluarga dibenarkan keluar berdua

Ismail Sabri addressing the daily press conference on MCO.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Apr 29: Ketua keluarga yang keluar membeli makanan, ubat-ubatan atau barangan keperluan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) Fasa 4 bermula hari ini, dibenarkan membawa seorang lagi ahli keluarga bersama.


Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu berdasarkan kemas kini Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.


“Hari ini saya nak umumkan dan perkara ini telahpun diwartakan, terdapat sedikit kelonggaran iaitu dari segi jumlah penumpang di dalam kereta.

“Kalau dahulu, satu kereta hanya dibenarkan satu orang sahaja dan kita dapati banyak permintaan yang mahukan supaya ada tambahan.

“Oleh itu, untuk memberi kelonggaran dan kemudahan, kita benarkan dua orang untuk satu kereta tetapi mesti daripada rumah yang sama dan keluarga terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian berkaitan PKP di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata ia munasabah sebab kedua-duanya dari rumah yang sama dan dari segi penjarakkan sosial, di dalam rumah pun mereka tetap bersama.

“Lebih-lebih lagi di dalam rumah mereka tidak melibatkan kes positif Covid-19, bermakna semua yang di dalam rumah juga selamat,” katanya.

Pada sidang media yang sama, Ismail juga memaklumkan bahawa kelonggaran turut diberikan kepada individu yang perlu untuk bergerak melebihi jarak 10km.

Menurut Ismail, dahulu terdapat peraturan bahawa tidak boleh keluar lebih daripada lingkungan jarak 10km kecuali ada sebab-sebab tertentu dan ia berdasarkan budi bicara pihak polis.

“Tetapi kali ini kita wartakan dengan lebih jelas iaitu perkara-perkara yang kita benarkan ialah jika ia melibatkan keperluan harian seperti membeli makanan, perkhidmatan kesihatan dan perubatan.

“Kalau mereka terpaksa keluar melebihi jarak 10km, maka kita benarkan.

“Katakan sakit dan perlu pergi ke klinik yang jaraknya lebih 10km dari rumah, kita benarkan tetapi pergi ke klinik yang terhampir dengan rumah mereka walaupun jaraknya melebihi 10km,” ujar Ismail.

Sebelum ini, orang ramai hanya dibenarkan untuk membeli barang keperluan dalam jarak lingkungan 10km dengan seorang sahaja dari rumah masing-masing bermula 1 April lalu selepas PKP Fasa 2 dilaksanakan.—DayakDaily

.