Mawan gesa pelajar IPT terus patuhi arahan PKP setelah pulang ke rumah panjang

Tan Sri William Mawan

KUCHING, Apr 29: ADUN Pakan Tan Sri William Mawan menggesa semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dibenarkan pulang ke rumah panjang untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau juga turut menyeru ibu-bapa agar memastikan anak-anak mereka mengamalkan penjarakkan sosial, kerap membasuh tangan dan memakai penutup hidung dan mulut.

“Ibu-bapa perlu memantau anak-anak mereka yang pulang ke rumah panjang untuk memastikan mereka mematuhi PKP.”

“Jika boleh, ibu-bapa menyediakan bilik persendirian untuk anak-anak mereka membaca, mendengar muzik atau menggunakan telefon pintar,” katanya ketika dihubungi mengenai kepulangan pelajar IPT ke rumah panjang masing-masing.

Tambah Mawan, wabak Covid-19 bukan perkara yang perlu dipandang ringan kerana virus ini boleh merebak tanpa disedari dan apa yang membimbangkan terdapat kes jangkitan yang tiada simptom awal.


“Sebab itu saya tekankan, patuhi PKP. Kuarantin diri sendiri sekurang-kurangnya lima hari dan elakkan lawatan atau berkumpul beramai-ramai di rumah panjang.”

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk memutuskan rantaian
Covid-19 sebelum ia merebak dan sukar dikawal,” tegas Mawan. —DayakDaily