Pekerja warga Indonesia maut di kemalangan jalanraya Miri-Bintulu

Kenderaan pacuan empat roda masuk ke dalam longkang selepas terbabas di Km 92 Jalan Miri Bintulu.

MIRI, 21 Dis:  Seorang pekerja ladang sawit warga Indonesia maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terbabas di Km 92 Jalan Miri-Bintulu petang semalam.

Kawasan kemalangan merupakan jalanraya Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol, mangsa dikenali sebagai Rio Fenando, berusia 19 tahun, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah susulan kejadian tersebut.


Difahamkan, sebelum kejadian, kenderaan tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Ladang Tiga untuk membawa pekerja balik ke rumah dan apabila sampai di Km 92 Jalan Miri-Bintulu, pemandu kenderaan, berusia 35 tahun itu, telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan termasuk ke dalam longkang.

“Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa yang merupakan penumpang belakang kenderaan telah mengalami kecederaan dan disahkan telah meninggal dunia oleh pihak paramedik sekitar jam 2.30 petang,” ujar Sabri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily