KOTA PADAWAN, 23 Sept: Sebanyak 63 buah kenderaan diperiksa, termasuk 15 buah lori dalam operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata operasi tersebut diketuai Pegawai Penguatkuasaan Trafik IPD Padawan ASP Kenny Charles Juta dari jam 9 pagi hingga 1 petang.
Katanya, hasil operasi tersebut telah berjaya mengesan pelbagai kesalahan kenderaan perdagangan.
“Lima saman dikeluarkan atas kesalahan muatan merbahaya dan 20 saman lagi atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Manakala JAS juga telah memeriksa dan mengambil tindakan ke atas enam buah lori diesel atas kesalahan pengeluaran asap hitam berlebihan,” katanya dalam satu kenyataan.
Seramai lima anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Padawan dan 12 anggota JAS terlibat operasi tersebut.
“Operasi juga bertujuan untuk memastikan kenderaan perdagangan diselenggara dengan baik, terutamanya kenderaan yang menggunakan bahan api diesel untuk mengelakkan pencemaran,” katanya. — DayakDaily
Advertisement