Penghuni selamat dalam kebakaran rumah di Maludam

Keadaan kebakaran tersebut semalam.

MALUDAM, 23 Sept: Seorang lelaki berjaya menyelamatkan diri sebelum rumah didiaminya di Kampung Darat Maludam musnah dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 9.54 malam dan anggota dari Balai Bomba Saratok terus ke lokasi kejadian.
“Setiba pasukan bomba di lokasi kejadian, mendapati sebuah rumah satu tingkat jenis tidak kekal telah musnah terbakar.
“Pasukan bomba terus melakukan pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki dan semasa kejadian hanya seorang lelaki dewasa berada di dalam rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
Punca dan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa masih lagi dalam siasatan.— DayakDaily