Insiden tanah runtuh akibat tiga keluarga terjejas

Keadaan dapur yang terjejas akibat tanah runtuh.

Oleh Dean Adam

KAPIT, Dis 8: Tiga buah keluarga di Pelajau dekat sini berdepan risiko bahaya susulan kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan bahagian rumah mereka terjejas, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.


Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.26 pagi.

Jelasnya, selepas menerima maklumat mengenai insiden tersebut, sepasukan enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan dan pemantauan.

Pasukan bomba melakukan kerja pemantauan di lokasi kejadian.
Anggota bomba memantau keadaan rumah mangsa yang terjejas.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan terdapat tiga buah rumah di kawasan lereng bukit terjejas akibat kejadian tanah runtuh.

“Pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja memasang sawar-sawar dan memberi nasihat supaya penghuni rumah berpindah ke tempat yang selamat,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, hujan lebat yang berterusan dipercayai mengakibatkan kejadian berkenaan.

“Operasi tersebut tamat pada pukul 7.50 pagi selepas keadaan di tempat kejadian dalam keadaan selamat,” katanya. — DayakDaily