Industri sarang burung walit semakin popular di Sarawak

Sarang burung walit yang dihasilkan oleh burung walit.

MUKAH, Jan 16: Industri penternakan sarang burung walit atau nama saintifiknya, ‘aerodramus fuciphagus’ menerusi pembinaan rumah penternakan burung walit semakin popular di negeri ini.

Lazimnya, sarang burung walit boleh dijual antara RM4,000 hingga RM5,000 sekilogram pada harga pasaran masa kini.

Berdasarkan statistik terkini, sarang burung walit diproses yang dieksport ialah 60 tan setahun, namun jumlah yang dikeluarkan adalah hampir 400 tan setahun.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata indusri burung walit merupakan industri ’emas’ kepada Sarawak kerana ia memiliki permintaan yang tinggi selain harganya yang begitu lumayan.

Menurutnya, industri sarang burung mempunyai permintaan besar dari luar negara terutama China sebelum ini sebelum mereka mengenakan sekatan import ke atas semua produk sarang burung walit dari Malaysia pada Julai 2011.

“Namun, China telah menarik balik sekatan ke atas sarang siap diproses pada Jun tahun lalu menerusi satu perjanjian protokol.

“Perjanjian protokol itu sudah ditandatangani antara kementerian ini dengan China bagi membolehkan Jabatan Perkhidmatan Veterinari diberikan kepercayaan bagi membuat penilaian mengikut prosedur operasi ‘standard’ yang ditetapkan ke atas sarang burung walit sebelum dieksport,” katanya selepas melakukan lawatan ke premis pengusaha burung walit di sini semalam.

Kelihatan burung walit bersarang dalam rumah yang dibina untuk penternakan sarang burung walit.
Rumah yang dibina untuk penternakan sarang burung walit.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery memberitahu, industri tersebut juga dijangka memberi peluang besar kepada usahawan di kawasan luar bandar untuk meningkatkan ekonomi masing-masing.

Bagaimanapun katanya, usaha memajukan industri sarang burung walit tidak akan berjaya jika hanya bergantung kepada kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan dan pelaburan sektor swasta.

“Ini kerana industri sarang burung walit kini semakin rancak diusahakan di Sarawak berikutan permintaan tinggi untuk eksport ke China selain Taiwan dan Hong Kong,” katanya lagi. — DayakDaily