IKS main peranan penting jana ekonomi negeri, kata Naroden

Naroden hadir merasmikan Fiesta Sahabat AIM 2019 Cawangan Niah di Dewan Masyarakat Bekenu.

KUCHING, 23 Nov: Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara termasuk negeri Sarawak.

Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan E-Dagang, Datuk Mohd Naroden Majais, berkata IKS termasuk Industri Kotej menyumbang tidak kurang daripada 30 peratus kepada pembangunan ekonomi negeri Sarawak.

“IKS juga menyediakan peluang pekerjaan dan memberi pendapatan kepada pekerja yang secara langsung meningkatkan kuasa membeli pekerja dan keluarga mereka.


“Dalam masa yang sama, ia mewujudkan peluang pelancongan dan pendapatan kepada negara dan negeri melalui cukai korporat dan cukai pendapatan pekerja,” katanya.

Naroden berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Fiesta Sahabat Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) 2019 Cawangan Niah di Dewan Masyarakat Bekenu, Miri, hari ini.

Tambah beliau, kebanyakan IKS Sarawak dalam sektor perkhidmatan adalah bidang makanan dan minuman, pengangkutan, pembinaan, pembuatan, pemprosesan makanan dari produk pertanian dan perikanan, jahitan, kuih-muih, homestay dan sebagainya.

Menyedari kepentingan sumbangan itu kata Naroden, kerajaan menggalakkan pertumbuhan IKS dan berusaha memperkasakan keupayaan mereka.

“Kerajaan melalui beberapa agensi banyak mengadakan program keusahawaan sama ada program latihan, penyediaan premis perniagaan, bantuan kewangan, promosi dan pemasaran melalui expo dan pameran,” katanya.

Ujar beliau lagi, pada tahun 2019 kementeriannya menerusi tiga program telah mengeluar bantuan sebanyak RM21 juta untuk manfaat kepada 252 orang usahawan kecil.

Ketiga-tiga program itu ialah Graduan ke arah keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasioanal (USTEV ) dan SPIKS.

“Agensi-agensi lain seperti dibawah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi tahun ini sahaja telah memberi bantuan RM282 juta kepada 15,630 orang usahawan Sarawak,” katanya.

Majlis anjuran Kelab Usahawan Wanita Ikhtiar Niah itu diadakan dari 23 hingga 24 November, 2019.

Turut hadir Menteri Muda Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus, dan Pengerusi Kelab Usahawan Wanita Ikhtiar Niah Norlela Omar.

Majlis dihadiri lebih 600 orang ahli dan sahabat AIM, ketua masyarakat dan ketua kaum. — DayakDaily