Idris: Kerajaan PH tidak telus, tidak tulus dan tidak ikhlas terhadap rakyat Sarawak, Sabah

Datuk Idris Buang ... matured and united lawmakers

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 10: Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai sebab kukuh mengapa mereka tidak mahu mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat semalam.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang berkata definisi ‘Persekutuan’ dalam Perkara 160 Perlembagaan Malaysia adalah salah dan bertentangan dengan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Menurut beliau, definisi ‘Persekutuan’ dalam Perkara 160 ini bermaksud Persekutuan Malaya bukannya Malaysia.

“Inilah antara sebab mengapa ahli parlimen GPS tidak mahu mengundi untuk RUU semalam kerana definisi ‘Persekutuan’ yang sedia ada dan salah itu harus dipinda sekali.

“Sebab lain kerana RUU tersebut tidak memberi apa-apa manafaat kerana ia langsung tidak menunjuk dan memperakukan kedudukan atau status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara kepada MA63.

“Pendek kata RUU tersebut adalah tidak lengkap, terlalu mentah dan kosong tanpa isi atau intipati yang dikehendaki oleh rakyat Sarawak dan Sabah sebenarnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang tersebut, RUU itu hanya seperti melepas batuk di tangga dan dibuat atas dorongan nafsu politik Pakatan Harapan (PH).

Maka katanya, ia boleh dianggap sebagai dan hanyalah satu helah politik semata-mata.

“Jika RUU tersebut diluluskan pun ia tidak langsung membawa apa-apa makna atau manafaat dari sudut rakan setara. Ia hanya menambah kekeliruan rakyat.

“Usaha Kerajaan PH dalam membentang RUU ini ternyata tidak telus, tidak tulus dan tidak ikhlas terhadap rakyat Sarawak dan Sabah maka ianya tidak di undi oleh ahli parlimen GPS dan pembangkang yang lain,” ujarnya. — DayakDaily