Idris: GPS ingin memperbetulkan keadaan dan bawa Sarawak maju ke hadapan

Idris pada sesi bahas di Dewan Suarah Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 29: Kerajaan Gabungan Parti Rakyat Sarawak (GPS) ingin memperbetulkan keadaan dan seterusnya maju ke hadapan demi kebaikan rakyat Sarawak.

Atas dasar itu, usul pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan tidak dapat diterima kerana tidak merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang.


Beliau juga berkata kerajaan Sarawak tidak boleh secara membabi buta menyokong pindaan perlembagaan Perkara 1 (2) tanpa meminda Artikel 160.

“Datuk nenek kita pada tahun 1963 telah membuat kesilapan dan oleh sebab itu perkara yang bersama berlaku pada tahun 1976.

“Kita (GPS) nak betulkan semua sekaligus dan bawa Sarawak maju ke hadapan.

“Yang peliknya, kenapa Pakatan Harapan(PH) sukar menerima perkataan merujuk kepada MA63?” kata beliau pada sesi bahas bersama Pengerusi Pro Reformist 98 Sarawak Iswardy Morni di Dewan Suarah Kuching semalam.

Bahas merungkai topik ‘Should Sarawakians Support the Amendment to Federal Constitution 1(2) Bill as tabled in Parliament on 9.4.2019 in the light of MA63’ anjuran DayakDaily dihadiri lebih 700 orang.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang menambah, walaupun hak istimewa Sarawak dan Sabah ada diserapkan di dalam Perlembagaan Perkara 1(2) tapi ianya tidak menyebut berkenaan status setara.

Maka GPS telah memberi cadangan perkataan merujuk kepada MA63 dimasukkan di dalam pindaan perlembagaan Perkara 1(2), tegas beliau.

“Inilah kebenaran; kita tidak mahu rakyat Sarawak diperbodohkan dan kita tidak mempercayai kerajaan PH.

“Semua perkara yang berkait seperti pelajaran, kesihatan, pemindahan kuasa, minyak dan yang lain semua ada di dalam Jawatankuasa Pemandu.

“Semua ini tidak boleh dipersetujui. Kita juga tak boleh ke mahkamah sekarang kerana kita tidak mempercayai mahkamah buat masa ini,” katanya.

Merujuk kepada perkara yang sama, Idris menegaskan pindaan pada perlembagaan tidak boleh dibuat sekarang.

Katanya, pindaan tidak dibentangkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pemandu.

“Pada peringkat Jawatankuasa Perunding yang dianggotai Ahli Yang Berhormat See Chee How dan Ali Biju, bila kita (GPS) tak setuju kerana tiada perkataan merujuk kepada MA63, mereka pula setuju,” kata Idris. — DayakDaily