Identiti mayat terapung di tasik berdekatan perumahan Senadin sudah dikenalpasti

Mayat terapung telah ditemui di sebuah tasik berhampiran kawasan perumahan Senadin pada hari Ahad lalu.

Oleh Brad Rantayy

MIRI ,4 Jan: Polis hari ini telah mengesahkan identiti mayat terapung seorang lelaki yang ditemui di sebuah tasik berdekatan kawasan perumahan Senadin pada Ahad lalu sebagai Orlean Nigel Constantine Taring, 20.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, hasil pemeriksaan terhadap kejadian dan bahagian luaran tubuh mangsa itu, tiada kesan mengaitkan perbuatan jenayah.


Mayat telah dikenal pasti sebagai Orlean Nigel Constantine Taring.

“Mayat telah disahkam sebagai Orlean Nigel Constantine Taring berusia 20 tahun dari Jalan Lintang 6, Jalan Kuching, Taman Tunku Miri dan bekerja sebagai pelayan kedai separuh masa (part time),” jelas Hakemal.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil bedah siasat.

Pada Ahad lalu, sekitar jam 9.30 pagi, dua kaki pancing menemukan satu mayat lelaki yang pada mulanya disangka patung ,terapung di tasik berdekatan kawasan perumah Senadin.

Mereka kemudiannya telah memaklumkan penemuan tersebut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mayat lengkap berpakaian itu kemudiannya telah dibawa ke bilik mayat Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

Difahamkan, mayat memakai baju kemeja berwarna hitam, sepasang kasut jenama Nike dan seutas jam tangan ketika ditemui. — DayakDaily