Hospital Umum Sarawak cari waris Phui Shong Ngo

Inilah pesakit wanita yang bernama Phui Shong Ngo.
Advertisement

KUCHING, Jun 26: Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini hari ini menyeru waris atau ahli keluarga seorang pesakit wanita yang bernama Phui Shong Ngo agar tampil bagi membantu urusan kemasukan di wad hospital berkenaan.

Berdasarkan maklumat daripada jurucakap HUS, pesakit berasal dari Batu 33½, Jalan Kuching-Serian itu tinggal bersendirian di bilik sewa, Batu 4½, Jalan Penrissen, Kuching sejak beberapa tahun lalu.

“Pesakit tersebut kemudian telah dihantar ke HUS pada Jun 19 lalu dengan ambulan setelah jiran menghubungi pihak hospital selepas dikatakan mengalami kesakitan.

Advertisement

“HUS dengan kerjasama pihak berkuasa lain telah melakukan pelbagai inisiatif bagi mengesan waris pesakit namun gagal,” kata jurucakap HUS dalam satu kenyataan media hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pesakit itu tidak dapat memberikan maklumat lengkap mengenai dirinya berikutan keadaannya yang masih tidak stabil.

Katanya, ahli keluarga dan orang ramai yang mengenali pesakit diminta menghubungi pihak hospital dalam kadar segera.

“Pihak HUS menyeru ahli keluarga atau orang ramai yang mengenali pesakit agar menghubungi Jabatan Kerja Sosial Perubatan di talian 082-276666 untuk maklumat lanjut,” kata jurucakap sama. — DayakDaily

Advertisement