Lembaga Pelawat HUS edar 4,000 topeng muka kepada orang ramai

Sebuah keluarga kelihatan sedang memakai topeng muka yang diedar oleh ahli Lembaga Pelawat HUS.

KUCHING, 13 Sept: Ahli Lembaga Pelawat Hospital Umum Sarawak (HUS) telah mengedar sebanyak 4,000 topeng muka kepada orang ramai di lobi hospital terbabit, hari ini.

Ketua Jawatankuasa Perhubungan Awam lembaga itu, Boniface Willy Tumek, berkata mereka mengedarkan topeng muka terbabit berikutan jerebu yang masih melanda bandar raya ini dan boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

“Kami telah menerima sedikit peruntukan dari kerajaan pusat bagi membeli (4,000) topeng muka untuk diberikan kepada orang ramai di hospital ini bagi melindungi paru-paru mereka dari jerebu,” katanya ketika ditemui semasa pengedaran topeng muka terbabit di HUS.


Boniface memberikan topeng muka secara percuma kepada orang ramai.

Boniface berkata topeng muka terbabit kesemuanya jenis ‘tiga line’ yang berkualiti dan mereka juga turut dibantu kakitangan hospital untuk pengedaran kepada orang ramai.

Tambah beliau, ini juga kali pertama lembaga itu mengadakan acara pemberian topeng muka secara percuma kepada orang ramai di HUS selepas lembaga itu kembali diaktifkan kerajaan pusat tahun ini bagi menjadi penghubung antara HUS dan orang ramai yang mengunjungi hospital itu.

“Kami juga membantu memastikan orang ramai yang mengunjungi HUS mendapat pengalaman sebaik dan selasa yang mungkin,” katanya.

Ahli Lembaga Pelawat HUS yang membantu mengedar topeng muka.

Lembaga tersebut mempunyai 25 ahli yang terdiri daripada kakitangan hospital, ahli pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam.

Katanya, selain memberi topeng muka, lembaga terbabit juga sudah merancang banyak lagi aktiviti, namun beliau tidak dapat mendedahkannya dahulu, memandangkan kesemua rancangan tersebut perlu mendapat kebenaran pengurusan hospital terlebih dahulu bagi memastikan tidak menganggu operasinya. — DayakDaily