Hospital Kapit memerlukan bangunan baru untuk pesakit haemodialysis

Jefferson Jamit Unyat (photo sourced from www.dun.sarawak.gov.my)

KUCHING, Nov 8: Hospital Kapit perlu dibina bangunan baru yang khusus bagi pesakit buah pinggang dari kawasan luar bandar dan pedalaman Kapit dan Song yang perlu menjalani rawatan haemodialysis tiga kali seminggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat berkata Hospital Kapit yang mempunyai sebanyak 15 mesin haemodialysis ketika ini ada ruang terhad bagi menyediakan rawatan itu sehingga sebahagian pesakitnya terpaksa dirujuk ke Klinik Kesihatan Song yang mempunyai lima mesin tersebut.

“Disebabkan ruang yang terhad bagi rawatan haemodialysis, maka saya mahu meminta pihak berkuasa berkaitan untuk membina bangunan baru di perkarangan Hospital Kapit khusus bagi pesakit buah pinggang menjalani rawatan haemodialysis,” katanya ketika sesi debat Belanjawan 2019 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya, di sini, hari ini.


Jefferson berkata Hospital Kapit juga perlu lebih banyak mesin haemodialysis kerana ketika ini 15 mesin tersebut di hospital ini digunakan secara secara maksimum setiap hari dari syif pagi hinggalah lewat malam dan lima mesin terbabit di Klinik Kesihatan Song juga sedang digunakan dengan sepenuhnya.

“Statistik dari Jabatan Kesihatan Kapit mendedahkan yang (kawasan luar bandar dan pedalaman) Kapit sekarang telah ada seramai 58 pesakit buah pinggang yang berdaftar,” jelas beliau manakala di kawasan luar bandar dan pedalaman Song mempunyai seramai 20 pesakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan haemodialysis tiga kali seminggu.

Selain itu, beliau juga meminta kerajaan negeri memberikan peruntukan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk membina pasar menjual hasil hutan dan sayuran tempatan yang baru di pekan Kapit.

Ini bagi memberikan tempat berniaga bagi petani kerana siapnya jalan kemasukan di kawasan luar bandar Kapit seperti Ulu Sungau Yong, Sungai Sut, Sungai Antaroh dan Jalan Kapit-Song telah menyediakan peluang penduduk disana membuka tanah mereka dengan pertanian dan menyediakan cara mudah memasarkan keluaran pertanian mereka ke pekan Kapit.

“Ini menyebabkan Pasar Teresang yang terkenal di pekan Kapit menjadi sesak dan pihak berkuasa berkaitan menghadapi banyak cabaran bagi mencari tempat baru yang sesuai bagi petani menjual dan memasarkan produk mereka,” kata Jefferson. — DayakDaily