Oleh Chris Bishop
GEDONG, 10 Nov: Peranan kerajaan Sarawak sebagai agregator tunggal gas adalah hak Negeri, tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Justeru katanya, sebarang usaha atau tindakan dari mana-mana pihak yang tidak menghormatinya bakal dibawa ke mahkamah.
“Ada satu video TikTok mengatakan sebagai agregator, Sarawak bakal memperoleh RM100 bilion setahun.
“Ini hanya satu provokasi,” katanya di Perhimpunan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Gedong hari ini.
Menurut Abang Johari, beliau tahu apa yang sedang dilakukannya dan peranan sebagai agregator tunggal gas adalah hak Negeri.
“Mana-mana pihak yang tidak menghormati, saya akan bawa ke mahkamah, sebab ia adalah hak Sarawak,” kata Abang Johari.
Baru-baru ini, Abang Johari memaklumkan bahawa perbincangan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengenai pengagihan gas asli di Sarawak selesai.
Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh pihak PETRONAS kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi secara tidak rasmi. — DayakDaily