H&L Xtra rakan strategik baru Kenyalang Gold Card

Fatimah (tengah) melihat Juruwang membuat pengesahan kad KGC ketika lawatan rasmi di H&L Xtra, Eco Mall di Kuching.

KUCHING, 13 Mac: Pasaraya H&L Xtra menjadi antara rakan strategik terbaharu kepada Kenyalang Gold Card (KGC) yang akan turut memberikan perkhidmatan dan penjimatan kepada pemegang kad berkenaan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, setakat ini sebanyak 201 syarikat di seluruh sarawak telah berdaftar untuk menjadimrakan Strategik kepada KGC.

“Jumlah ini akan berubah dari semasa ke semasa dan kita amat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak lagi vendor atau syarikat untuk menjadi rakan strategik KGC agar kita dapat memberikan perkhidmatan serta penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada warga emas kita,”katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke H&L Xtra di Eco Mall di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga bulan 28 Februari lepas, seramai 197,122 warga emas di Sarawak telah memohon untuk mendqpatkan KGC.

Jumlah tersebut adalah 65.57 peratus daripada jumlah keseluruhan warga emas yang terdapat di negeri ini yang seramai 315,000 orang.

Fatimah berkata, bagi melancarkan proses pemberian dan kelulusan KGC, kabinet negeri telahpun meluluskan untuk pengambilan kakitangam yang dikhaskan untuk menguruskan setiap pemohonan dan pengedaran KGC.

Katanya, kakitangan ini juga turut berperanan untuk mencari rakan strategik baharu di seluruh sarawak agar kita dapat memperluaskan lagi skop perkhidmatan dan penjagaan kesihatan kepada warga emas.

“Kita telah minta dari kerajaan negeri untuk mengambil kakitangan yang tugasnya khusus untuk KGC yang antara lain mencari vendors yang bukan di Kuching tetapi di seluruh sarawak sebab itu tugas penting selain terlibat dengan pemohonan dan pengedaran kad KGC” katanya. — DayakDaily