Hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, Muhyiddin letak jawatan sebagai PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUCHING, 16 Ogos: Kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat adalah punca Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri hari ini.

Pada Perutusan Khas yang siarkan secara langsung siaran televisyen tempatan sebentar tadi, Muhyiddin berkata ia bermakna beliau dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan.

“Saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengahari tadi di Istana Negara.


“Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menyerahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Ini bermakna saya dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan,” katanya.

Tambah Muhyiddin, peletakan jawatan tidak dapat dielakan walaupun pada awalnya beliau mencadangkan supaya keabsahan sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen.

Namun katanya, lima belas MP Umno telah menarik sokongan kepada beliau dan cadangan kerjasama rentas parti yang dikemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang.

“Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlulah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen.

“Maka, pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.

Menurut Muhyiddin lagi, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”.

Justeru jelas beliau, inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar beliau meneruskan tugas dan tidak meletakkan jawatan didengari.

“Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” kata Muhyiddin. — DayakDaily