‘Hero Bomba’, hadiah hari jadi paling bermakna untuk rider GrabFood

Khirudin bersama 'Hero Bomba' yang menerima sijil penghargaan pada majlis tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 21 Julai: Seorang rider (penghantar makanan) ‘Grab Food’ menganggap penghargaan yang diterimanya dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sebagai hadiah ulangtahun kelahirannya yang paling bermakna.

Lelaki dikenali sebagai Khairol Izwan Sidek merupakan antara sembilan orang awam yang dinobatkan sebagai ‘Hero Bomba, selepas berjaya menyelamat satu keluarga yang terlibat kemalangan di Jalan Camar, Petra Jaya pada 17 Julai lalu.


Beliau yang ditemui pemberita dalam majlis penghargaan tersebut menyifatkan pengiktirafan oleh JBPM Sarawak tersebut sebagai hadiah untuk dirinya yang menyambut hari jadinya yang ke-28 esok.

“Saya sangat gembira dan bangga kerana dapat bersama-sama dengan yang lain menyelamat keluarga tersebut.

“Terima kasih Bomba atas penghargaan ini yang saya anggap sebagai hadiah hari jadi paling bermakna untuk saya,” katanya.

Khairol Irwan

Tambahnya, detik-detik mencemaskan semasa menyelamat ahli keluarga tersebut akan sentiasa menjadi ingatan kepada dirinya.

“Ketika (menyelamat) itu, langsung tidak ada fikirkan apa-apa, kami berbagi tubuh, ada di dalam air sedalam enam kaki lebih, ada juga di darat dan apa yang difikirkan ketika itu cuma hendak pastikan semua mangsa selamat.

“Selepas itu baharu ada terfikir akan keselamatan diri, contohnya bagaimana sekiranya di dalam parit tersebut ada buaya disebabkan parit tersebut bersambung dengan sungai,” katanya lagi.

Sementara itu, terdapat juga sepasang suami isteri yang turut menerima penghargaan bomba dalam majlis tersebut iaitu Jamal Ahmad dan iaterinya Suzana Drahman masing-masing berusia 40 tahun.

“Saya dan suami dalam perjalanan pulang ke rumah ketika melihat kemalangan tersebut berlaku. Tanpa membuang masa saya terus menghubungi bomba.

“Suami saya ketika itu terus turun ke dalam parit untuk membantu mangsa tetapi mendapati pintu kereta (mangsa) tidak dapat dibuka dan segera mendapatkan pertolongan,” katanya.

Jelasnya, beberapa orang awam yang diantaranya ialah penghantar makanan kemudian terus membantu dan akhirnya berjaya mengeluarkan semua mangsa.

Dalam kejadian tersebut, keluarga (mangsa) terbabit yang terdiri sepasang suami isteri bersama dua anak mereka dipercayai dalam perjalanan pulang.

Mereka bagaimanapun terlibat kemalangan apabila cuba mengelak melanggar sebuah kereta yang dikatakan keluar secara tiba-tiba dari satu simpang.

Kesemua mangsa dilaporkan selamat dalam insiden tersebut cuma mengalami trauma.

Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman dalam ucapannya pada majlis tersebut mengharapkan lebih ramai lagi orang awam yang boleh atau berani bertindak membantu bomba dalam apa jua insiden.

“Ini kerana tindakan awal dalam tempoh lima minit pertama sesuatu insiden amatlah penting.

“Oleh itu cuba untuk membantu selain hanya memerhati dan mengambil gambar atau video,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah JBPM Sarawak Tiong Ling Hii. — DayakDaily