Henti salahkan kerajaan terdahulu, segera tunaikan janji kepada rakyat — Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 14 Sept: Ketua Whip Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof, menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu.

Beliau berpendapat rakyat sudah muak dengan alasan berterusan menyalahkan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) untuk menutup kelemahan dan kegagalan Lim sendiri.

“Sudah, sudahlah Lim Guan Eng. Anda dan Chong Chieng Jen sendiri yang telah berjanji. Mengapa terus-terusan hendak salahkan orang lain pula?


“Beri sahaja royalti minyak dan gas 20 peratus seperti dijanjikan kepada Sarawak dan jangan lupa, 50 peratus daripada hasil kutipan cukai di Sarawak juga dijanjikan kepada kerajaan negeri jika PH (Pakatan Harapan) berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan raya Umum Ke-14,” katanya menerusi kenyataan media.

Fadillah mendakwa Lim cuma mampu menyalak sepanjang masa menyalahkan kerajaan terdahulu tanpa melaksanakan usaha untuk memperbaiki keadaan dan menarik lebih ramai pelabur ke negara ini.

Tambah beliau, Lim menakutkan pelabur dengan tuduhan liar bahawa Sarawak akan bankrap.

Ahli Parlimen Petra Jaya tersebut merasakan mungkin Lim sudah lupa beliau kini berada dipihak kerajaan sehingga tindak tanduk beliau masih lagi seperti pembangkang.

“Sudah setahun empat bulan PH berjaya menawan Putrajaya, mana pergi janji anda berdua? Sampai bila hendak menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan dan kegagalan diri?

“Nampak sangat kamu hanya pandai mencari salah orang, dengan satu jari menunding ke arah kerajaan terdahulu, empat jari lagi tunjuk ke arah diri kamu sendiri yang gagal mentadbir dan mengurus kewangan negara,” ujar beliau.

Disamping itu Fadillah juga berkata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, sudah beberapa kali meminta supaya pemimpin PH berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu.

Daim sebaliknya menggesa pemimpin PH memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka dalam PRU-14.

“Lim sepatutnya ikut nasihat Tun Daim atau letak sahaja jawatan jika merasakan diri sendiri gagal melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat,” tegas beliau.

Lim, pada satu acara di Kuala Lumpur semalam berkata isu yang ditinggalkan kerajaan terdahulu menghalang pelaksanaan janji yang dibuat di bawah manifesto PH, khususnya berkaitan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak.

Lim menuduh kerajaan terdahulu menyebabkan sejumlah besar dana sama ada dibazirkan atau meletakkan Malaysia dalam keadaan bermasalah. — DayakDaily