Bunyi bising bawah sofa bawa penemuan ular tedung

Anggota APM menunjukkan ular tedung yang ditangkap di Kampung Jengalas, Bekenu pagi tadi.

BEKENU, Mac 25: Bunyi bising pelik dari bawah sofa telah membawa kepada penemuan seekor ular tedung sepanjang kira-kira 1 meter di sebuah rumah di Kampung Jengalas di sini pagi tadi.

Panik melihat reptilia itu, penghuni rumah tersebut kemudian menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menangkap ular tedung tersebut.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri,
Kapt. (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan ular tedung itu pada pukul 11.53 malam.

Katanya, dua anggota APM kemudian diarahkan ke kampung berkenaan untuk melakukan kerja-kerja menangkap ular tedung itu.

“Sebaik tiba di kampung itu pada pukul 12.45 tengah malam, anggota APM mendapati reptilia tersebut masih berada di bawah set sofa di rumah pengadu.


“Anggota APM kemudian menangkap ular tedung itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hazle memberitahu, ular tedung hitam itu berjaya ditangkap pada pukul 1.23 pagi.

Katanya, anggota APM kemudian memasukkan ular itu ke dalam bekas khas untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.08 pagi sebaik anggota APM tiba di pejabat operasi daerah,” ujarnya lagi. — DayakDaily