LUBOK ANTU, Feb 15: Pasukan tentera dari Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11RAMD) berjaya memberkas dua pendatang asing tanpa izin di Ladang Sawit Batu Putih di sini semalam.
Kedua-dua lelaki berusia 20-an itu ditahan kira-kira 500 meter dari kawasan sempadan Malaysia-Indonesia pada pukul 8.30 pagi.
Pegawai Memerintah 11RAMD, Lt Kol Salmi Istikh Ahmad berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki terbabit berasal dari Kampung Berangan, Badau, Indonesia.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua warga Indonesia tersebut berhasrat memasuki Malaysia dengan tujuan untuk bekerja di ladang di sini.
“Ketika ditahan, kedua-dua lelaki tersebut tiada dokumen pengenalan diri serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Tidak cukup itu, motosikal yang ditunggang oleh warga Indonesia tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran dan melalui jalan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Salmi memberitahu, kedua-dua pendatang asing tanpa izin itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu untuk tindakan lanjut.
“Kami akan terus melakukan operasi serkap dalam usaha kita mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan sempadan negara,” ujarnya lagi. — DayakDaily