This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 26 Julai: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa pembayar cukai boleh membuat permohonan bayaran secara ansuran amaun tunggakan Cukai Pendapatan (CP) dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi tahun kebelakangan tanpa dikenakan kenaikan cukai.
HASiL dalam kenyataan hari ini berkata, permohonan boleh dibuat mulai 6 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024, iaitu sepanjang tempoh Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 berlangsung.
“Permohonan bayaran secara ansuran bagi amaun tunggakan cukai tahun kebelakangan ini perlu dibuat secara bertulis dan boleh dikemukakan ke pejabat HASiL yang berhampiran atau di mana fail pembayar cukai dikendalikan bagi tujuan semakan dan kelulusan.
“Selain itu, pembayar cukai juga boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian dengan menggunakan Borang Maklum Balas Pelanggan menerusi platform MyTax di Portal Rasmi HASiL,” kata HASiL.
Sebagai maklumat tambahan, dokumen sokongan tidak perlu dikemukakan bagi permohonan ini sekiranya penyelesaian amaun dibuat dalam tempoh pelaksanaan PKPS 2.0.
Kata HASiL, pembayar cukai akan diberikan kelonggaran pelepasan sementara sekatan perjalanan di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi bayaran ansuran tunggakan cukai yang dibuat secara konsisten dan mematuhi jadual bayaran yang telah ditetapkan.
“Kegagalan mematuhi syarat bayaran yang telah ditetapkan boleh mengakibatkan kenaikan cukai dikenakan,” tegas kenyataan itu. — DayakDaily