Harga petrol naik 4 sen, diesel kekal selepas Tahun Baru Cina

A vehicle getting refueled at a petrol station. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Feb 8: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 akan naik 4 sen seliter, manakala harga runcit diesel akan kekal bermula tengah malam ini sehingga 15 Febuari depan.

Kementerian Kewangan mendedahkan harga runcit petrol RON97 akan kepada RM2.27 seliter, manakala harga runcit RON95 naik kepada RM1.97 seliter.

Harga runcit diesel pula kekal pada paras RM2.18 seliter, menurut kementerian dalam laman sesawang rasmi hari ini.


Harga runcit petrol dan diesel yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kewangan hari ini (Feb 8).

Harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia telah meningkat berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$60 setong kepada AS$62 setong bagi petrol RON95, dan daripada AS$72 setong kepada AS$73 setong bagi diesel.

“Peningkatan harga pasaran global ini telah menyebabkan kenaikan harga runcit bagi produk petrol dan diesel.

“Namun harga runcit petrol RON95 masih lagi di bawah paras penstabilan harga yang dijanjikan oleh kerajaan, iaitu RM2.20 seliter,” kata kementerian.

Bagi produk diesel, peningkatan harga pasaran ini sepatutnya menyebabkan harga runcit diesel di bawah formula (Automatic Pricing Mechanism) APM dinaikkan sebanyak 1 sen seliter iaitu daripada RM2.18 seliter kepada RM2.19 seliter, ia menambah.

Walau bagaimanapun, selaras dengan janji Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan untuk menstabilkan harga runcit diesel pada paras RM2.18 seliter sekiranya harganya melebihi paras itu, harga runcit diesel bagi tempoh 9-15 Februari adalah dikekalkan tanpa berubah pada paras RM2.18 seliter. — DayakDaily