Kejadian tanah runtuh di Kanowit jejas rumah kakitangan JBALB

Beberapa rumah bagi didiami kakitangan di Loji Rawatan Air Ng Jagau telah mengalami kerosakkan akibat tanah runtuh.

KUCHING, Feb 8: Satu kejadian tanah runtuh telah berlaku berdekatan Loji Rawatan Air Ng Jagau, Kanowit, semalam.

Menurut Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, kejadian terbabit mengakibatkan beberapa rumah bagi didiami kakitangannya di loji itu mengalami kerosakan.

“Difahamkan kejadian tersebut berlaku ekoran hujan lebat sejak semalaman,” menurut kenyataan jabatan itu yang disiarkan laman Facebook JBALB Sarawak hari ini.

Sehubungan itu, pihak JBALB Sibu telah mengarahkan kakitangan yang mendiami rumah berkenaan agar mengosongkan kediaman itu buat sementara waktu sehingga keadaan dipastikan selamat.

Kejadian tanah runtuh berdekatan Loji Rawatan Air Ng Jagau, Kanowit.

Disamping itu, jabatan terbabit juga mengeluarkan notis memberitahu bahagian Sibu akan mengalami gangguan bekalan air hari ini, bermula jam 10 pagi hingga malam, bergantung kepada kerja-kerja pembaikan.


Kawasan yang mungkin terjejas ialah seluruh penempatan Skim Ng Sekuau dan sepanjang Jalan Sibu-Bintulu dari Pekan Stapang ke Jalan Pasai, Rh Bantan.

Gangguan itu disebabkan saluran paip utama 300 milimeter yang pecah dan menyebabkan operasi loji terpaksa dihentikan sementara. — DayakDaily