Harga mingguan petrol: RON95, RON97 turun 5 sen, diesel kekal

A vehicle getting refueled at a petrol station. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 1 Feb: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 akan turun 5 sen seliter manakala harga diesel kekal bermula tengah malam ini sehingga 8 Febuari depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan harga runcit petrol RON97 akan turun kepada RM2.23 seliter, manakala RON95 turun kepada RM1.93 seliter.

Harga runcit diesel pula kekal pada paras RM2.18 seliter, tambahnya dalam  kenyataan media yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kewangan hari ini.


“Penurunan harga runcit bagi produk petrol RON95 adalah berikutan penurunan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia yang didorong oleh faktor peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global.

“Manakala perbezaan kos produk yang lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan produk diesel, terutamanya dari negara China,” ujar beliau.

Gambar harga petrol dan diesel bagi tempoh 2-8 Febuari yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kewangan Malaysia.

Lim berkata kerajaan akan terus komited melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama, melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

“Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera,” katanya.

Sekiranya harga pasaran produk melebihi harga yang ditetapkan, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi produk RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter, tambah beliau. — DayakDaily