Lelaki warga emas hilang ditemui mati lemas

Pasukan SAR membawa mayat mangsa.

Oleh Dean Adam

MUKAH, Feb 1: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semalam ditemui mati lemas hari ini.

Mangsa, Ningkan Inggas, 55, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 3.05 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata mangsa ditemui kira-kira 10 kilometer (km) dari pusat kawalan bomba.

Katanya, lokasi penemuan itu juga tidak jauh daripada tempat perahu mangsa ditemui sebelum ini.

Mayat mangsa dijumpai kira-kira 10km dari pusat kawalan bomba.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke pusat kawalan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital.

“Operasi SAR yang memasuki hari kedua ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.20 petang,” katanya. — DayakDaily