Hanya lima kompaun dikeluarkan daripada 1,378 kenderaan enjin diesel yang diperiksa oleh JAS

Pemeriksaan kenderaan oleh anggota operasi.

SERIAN, 24 Sept: Hanya lima kompaun dikeluarkan daripada 1,378 buah kenderaan enjin diesel yang diperiksa sepanjang lima hari Ops Gerak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak sejak 20 Sept lalu.

Pengarahnya Hamzah Mohamad berkata ia jelas menunjukkan pengguna kenderaan enjin diesel terutamanya kenderaan perdagangan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, sebanyak empat notis arahan pemeriksaan semula dikeluarkan, namun tiada kenderaan dikeluarkan perintah larangan oleh JAS sepanjang pemeriksaan diadakan.


“Secara kumulatif sebanyak 1,378 kenderaan diperiksa dengan lima kompaun serta empat notis arahan dikeluarkan.

“Ini menunjukkan bahawa kenderaan yang diperiksa sepanjang operasi dijalankan kebanyakan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di Stesen Timbang JPJ Jalan Kuching-Serian, di sini hari ini.

JAS selama lima hari bermula 20 Sept telah melakukan operasi di Jalan Kuching-Serian Bypass, Lebuh Raya Kuching-Samarahan, Batu 16 Jalan Kuching-Serian, Jalan Keruing, Taman Industri Demak Laut dan Stesen Timbang JPJ Jalan Kuching-Serian.

“Operasi secara berkala ini bertujuan memberi kesedaran kepada pemilik kenderaan motor untuk sentiasa mematuhi pelepasan asap hitam melalui ekzos kenderaan supaya mematuhi had yang ditetapkan.

“Pelepasan asap hitam berlebihan berpotensi memberi kesan buruk kepada kualiti udara dan seterusnya memberi kesan kepada kesihatan manusia serta alam sekitar,” katanya.

Semua kenderaan berenjin diesel harus mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 (Pindaan) 2000.

Operasi tersebut turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). — DayakDaily