Hanya kerana RM25.80 hasil jualan ‘chamber’ dan ‘pillar’ pili bomba yang dicuri, dua lelaki dicekup

Kelihatan individu tidak bertanggungjawab mencuri besi penutup 'chamber' dan tiang pili bomba di Taman Desa Wira, Batu Kawa.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Dean Adam

PADAWAN, Ogos 1: Dua suspek termasuk seorang remaja lelaki yang disyaki mencuri penutup ‘chamber’ dan ‘pillar’ pili bomba di Taman Desa Wira semalam berjaya dicekup petang semalam.

Kedua-dua suspek yang berusia 18 dan 24 tahun diberkas oleh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan pada pukul 4.30 petang.


Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, dua suspek terbabit dicekup di Kampung Segedup di Jalan Batu Kawa di sini.

Katanya, pemeriksaan lanjut polis menemui ‘chamber’ dan ‘pillar’ pili bomba yang dipercayai dicuri oleh suspek.

“Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Kriss Modenas yang disyaki digunakan kedua-dua suspek semasa melakukan jenayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Aidil menambah, hasil siasatan lanjut polis kemudian menahan seorang pengurus kedai besi buruk yang dipercayai membeli barangan curi itu.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek dibayar RM25.80 oleh pengurus kedai besi buruk itu bagi jualan barangan curi tersebut.

“Kedua-dua turut mengaku terlibat dalam penagihan dadah jenis syabu.

“Suspek-suspek tersebut akan direman hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. — DayakDaily