Hantar ‘makanan haiwan’ guna kurier, rupanya berisi ganja

PDRM logo
Advertisement

MIRI, 24 Mac: Cubaan menyeludup ganja dengan menikrarkannya sebagai makanan haiwan menggunakan perkhidmatan kurier berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri.

Pengarah Kastam Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata bungkusan tersebut dihantar dari Pulau Pinang dan telah dituntut seorang lelaki tempatan di pejabat kurier tersebut di Jalan ByPass pada 12 Mac lalu sekitar jam 12.55 tengah hari.

“Suspek kemudian ditahan dan hasil siasatan ke atas bungkusan ‘makanan haiwan’ tersebut telah menemui tumbuhan kering mampat yang dibalut dengan plastik lutsinar disyaki ganja dengan anggaran berat 132 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Advertisement

Katanya tangkapan kedua melibatkan dua lelaki warganegara tempatan yang juga didapati telah menuntut satu bungkusan yang diikrar sebagai ‘Letters & Papers’ yang telah dikirim dari Kelantan.

“Pemeriksaan ke atas bungkusan tersebut telah menjumpai tiga ketulan tumbuhan kering mampat yang dibalut dengan plastik lutsinar disyaki ganja dengan anggaran berat 3,117gram.

“Pemeriksaan susulan keatas sebuah beg sandang milik salah seorang daripada individu turut menjumpai sebelas paket plastik lutsinar yang mengandungi tumbuhan kering yang disyaki ganja dengan anggaran berat 16.74gram,” katanya.

Ujian awal ke atas barang kes dipercayai tumbuhan kering mampat tersebut mendapati ianya positif dadah jenis kanabis atau ganja.

“Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas ketiga – tiga saspek didapati positif dadah jenis ganja,” katanya.

Kes pertama disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada 5 tahun dan rotan tidak kurang daripada 10 kali sebatan.

Bagi kes kedua, ianya disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. — DayakDaily

Advertisement